KOTA KINABALU: Penduduk sekitar Kota Kinabalu bakal menikmati perkhidmatan bas berhenti-henti lebih dinamik dan efisien apabila Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melancarkan perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu yang dijadual beroperasi bermula tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata pelaksanaan inisiatif ini selari dengan matlamat MOT meningkatkan mobiliti, produktiviti dan taraf hidup rakyat.

“Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM17.6 juta setahun atau RM88 juta bagi tempoh lima tahun untuk melaksanakan program ini di Kota Kinabalu,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran BAS.MY Kota Kinabalu di KK Sentral, hari ini.

Menurutnya, perkhidmatan BAS.MY yang telah beroperasi di beberapa bandar utama termasuk Kangar, Seremban, Ipoh, Johor Bahru, Melaka, Kuantan dan Kuching, kini diperluas ke Kota Kinabalu secara berfasa.

Selain menyediakan perkhidmatan bas moden, pengguna turut ditawarkan pelbagai kemudahan tambahan antaranya Pas Bulanan Tanpa Had Kad 30 Hari BAS.MY, Kad Konsesi dan Kad Tambang khas untuk OKU, warga emas, pelajar serta golongan berpendapatan rendah.

“BAS.MY Kota Kinabalu akan menggunakan 48 buah bas baharu merangkumi lapan laluan dari KK Sentral dengan ciri moden seperti GPS pemantauan masa nyata, sistem pembayaran tanpa tunai, CCTV, kemudahan mesra OKU serta operasi tetap setiap 30 hingga 60 minit dari jam 5.30 pagi hingga 11 malam,” jelas Loke.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah merangkap Menteri Penyelaras Pengangkutan Awam Kota Kinabalu, Datuk Phoong Jin Zhe, merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas inisiatif berkenaan.

“Mewakili Ketua Menteri Sabah, saya amat gembira kerana usaha yang dinanti rakyat khususnya di Kota Kinabalu akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Program BAS.MY Kota Kinabalu dilaksanakan di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (Stage Bus Service Transformation – SBST) anjuran MOT.-pr/BNN