KOTA KINABALU: Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mengingatkan pemimpin serta rakyat negeri ini supaya tidak tunduk kepada tekanan politik Persekutuan, sebaliknya terus berani memperjuangkan hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut bekas Ketua Menteri itu, sejarah politik negara membuktikan kerajaan pusat sering menggunakan pendekatan “ganjaran dan hukuman” untuk melemahkan perjuangan Sabah, termasuk melalui agensi penguatkuasaan.

“Kita mesti mempunyai pemimpin yang berani, yang sanggup berdepan dengan politik ketakutan tanpa bergantung kepada ihsan sesiapa. Apabila rasa takut dapat dihapuskan, maka taktik ketakutan itu tidak lagi berfungsi,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mengimbau kembali pengalaman pahit pada 2008, Yong berkata beliau pernah menjadi sasaran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejurus SAPP mengumumkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ketika itu.

Katanya, sehari sebelum pengumuman undi tidak percaya dibuat pada 18 Jun 2008, beliau menerima sepucuk surat rahsia daripada Pejabat Perdana Menteri yang menawarkannya jawatan Senator.

Namun, tawaran itu ditolak kerana dianggap cubaan “merasuah” bagi menghalang perjuangan politik SAPP.

“Hanya dua hari selepas pengumuman tersebut, tiba-tiba saya diumumkan sedang disiasat atas tuduhan rasuah RM5 juta kononnya berlaku pada 1996, iaitu 12 tahun lebih awal ketika saya menjadi Ketua Menteri,” jelasnya.

Beliau menegaskan tidak pernah gentar dengan tuduhan tersebut kerana yakin tiada sebarang salah laku berlaku, sebaliknya siasatan itu hanyalah helah politik untuk menakut-nakutkan pemimpin Sabah.

Yong menegaskan, pengalaman itu adalah contoh jelas bagaimana “taktik buli persekutuan” berfungsi bagi menekan pemimpin negeri yang enggan tunduk kepada agenda pusat.

“Tujuh belas tahun telah berlalu, namun saya masih melihat taktik lama yang sama digunakan. Malangnya, generasi muda Sabah mungkin tidak memahami sepenuhnya bagaimana sistem persekutuan boleh menekan negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah agar tidak membiarkan ketakutan menguasai perjuangan menuntut hak negeri.

Yong turut mengingatkan pemimpin Sabah supaya tidak berunding dengan pusat kerana tekanan politik semata-mata.

Katanya, segala tuntutan boleh disalurkan melalui saluran sah termasuk MA63 dan Perlembagaan Persekutuan, sepertimana diamalkan negara Komanwel lain seperti Kanada, India dan Australia.

Mengakhiri kenyataannya, Yong memetik pesanan bekas Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy: “Jangan takut untuk berunding, tetapi jangan berunding kerana takut.”-pr/BNN