KUNAK :Pembukaan Loji Pengekstrakan Phytonutrien milik Kunak Lipids Sdn Bhd dijangka meletakkan Sabah pada kedudukan strategik dalam memenuhi keperluan pasaran oleokimia antarabangsa, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata loji itu bukan sahaja merangsang pembangunan ekonomi tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan, malah membuktikan komitmen Kumpulan Sawit Kinabalu untuk mempelbagaikan operasi melebihi pengeluaran komoditi mentah.

“Langkah ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri memperkukuh rantaian nilai industri sawit dan memastikan Sabah kekal sebagai peneraju dalam sektor hiliran bernilai tinggi,” katanya ketika merasmikan loji berkenaan melalui Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.

Hajiji yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu berkata, pihaknya berbangga dengan inisiatif menghasilkan  tocotrienol tempatan di bawah jenama Sawit Kinabalu Tocotrienols (SKT3) yang bakal dipasarkan tidak lama lagi. Katanya, pengeluaran tocotrienol tempatan mampu mengurangkan kebergantungan import Vitamin E, sekali gus membuka peluang dalam pasaran nutraseutikal.

Menurutnya, usaha ini turut menekankan kepentingan amalan lestari dalam industri sawit bagi memastikan bekalan berterusan untuk permintaan global yang semakin meningkat.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong pelaburan yang membangunkan industri hiliran sawit secara lestari dan inovatif. Saya percaya loji ini akan menjadi pemangkin hasil negeri, menyediakan pekerjaan berkemahiran kepada rakyat, serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab hiliran kelapa sawit serantau,” katanya. – pr/BNN