KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menegaskan komitmen teguhnya untuk memperjuangkan kepimpinan tulen parti tempatan dalam pentadbiran negeri, selaras dengan visi jangka panjang membentuk kerajaan Sabah yang dipimpin sepenuhnya oleh parti-parti politik dari negeri ini.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP hari ini, parti itu berkata prinsip tersebut adalah dasar perjuangan mereka bagi memastikan autonomi Sabah terus terpelihara dan pentadbiran negeri kekal di tangan anak watan.
Ketua Penerangan SAPP, Chin Vui Kai, berkata contoh kejayaan Sarawak menjadi inspirasi bahawa Sabah juga mampu melahirkan sebuah kerajaan yang terdiri sepenuhnya daripada parti-parti tempatan.
“Kami percaya pilihan raya negeri wajar ditandingi secara eksklusif oleh parti-parti tempatan bagi kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pendekatan ini menegakkan prinsip kami, memperkukuh autonomi tempatan dan memastikan pentadbiran negeri kekal di tangan rakyat Sabah sendiri,” katanya.
Menurutnya, keputusan parti berpisah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah muktamad dan tidak akan diundurkan.
“Walaupun parti-parti tempatan di Sabah mungkin mengambil strategi berbeza, kami berkongsi matlamat yang sama iaitu menghalang kuasa luar daripada mempengaruhi pentadbiran negeri,” jelasnya.
Chin menegaskan prinsip “Sabah for Sabahans” terus menjadi asas perjuangan SAPP yang selari dengan kehendak pengundi Sabah dalam menuntut hak penentuan nasib sendiri serta autonomi negeri.
“Apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan, semua kerusi kembali kepada rakyat. Tidak wujud konsep kerusi milik parti atau individu. SAPP kekal beriltizam memperkasakan politik tempatan serta memastikan pentadbiran negeri lahir daripada rakyat Sabah sendiri,” katanya.
SAPP turut menegaskan bahawa perjuangan mereka bukan sekadar politik, sebaliknya satu tanggungjawab mempertahankan hak dan masa depan rakyat Sabah.-pr/BNN





