KOTA KINABALU: Lebih 1,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta individu yang hidup dengan dementia menyertai Dementia Fun Run 2025 yang berlangsung penuh meriah di ibu negeri semalam.
Acara anjuran Sabah Alzheimer Disease Association (Sabah AZ) bersama Clinical Research Centre (CRC) Hospital Queen Elizabeth, Unit Geriatrik Hospital Mesra Bukit Padang, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Lions Club, MPMS serta rakan korporat itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai dementia dan menggalakkan sokongan komuniti terhadap golongan terbabit.
Peserta mengenakan baju-T ungu, simbol harapan dan kasih sayang, berjalan bersama keluarga serta penjaga individu yang hidup dengan dementia.
Selain larian, program turut dimeriahkan dengan laluan mesra keluarga, kaunter saringan kesihatan, permainan memori dan mewarna, selain sudut maklumat berhubung pengesanan awal dan penjagaan dementia.
Presiden Sabah AZ merangkap Timbalan Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional Malaysia, Dr. Fatimah Sabrina Mohammad, berkata sambutan itu membuktikan masyarakat semakin prihatin terhadap isu dementia.
“Program ini bukan sekadar larian, ia adalah gerakan empati, kesedaran dan harapan. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat mengingatkan kita bahawa dementia bukan hanya isu perubatan, tetapi tanggungjawab bersama.
Bersama-sama kita mampu membina komuniti yang memahami dan menyokong mereka yang hidup dengan dementia,” katanya.
Menurut jawatankuasa penganjur, kolaborasi erat antara agensi kerajaan, institusi kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta menjadikan acara ini satu model kerjasama komuniti yang baik.
Program ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal, malah berjaya memupuk nilai kasih sayang, inklusiviti dan solidariti dalam kalangan masyarakat.
Sabah AZ dalam kenyataannya turut melahirkan penghargaan atas sokongan padu yang ditunjukkan rakyat, selain berharap inisiatif itu dapat dijadikan acara tahunan demi mendidik masyarakat dan memperkukuh rangkaian sokongan penjagaan dementia di negeri ini.





