KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menegaskan kerajaan Sabah yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu mengambil alih tanpa syarat kes berkaitan Akta Laut Wilayah 2012 yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, berkata langkah itu mesti menjadi keutamaan kerajaan baharu kerana ia melibatkan hak maritim, sumber asli, kepentingan kewangan serta kedudukan geopolitik negeri.

“Mesyuarat pertama Kabinet Sabah selepas PRN mesti mengeluarkan arahan kepada Peguam Besar Sabah untuk segera mengambil alih kes ini dan bekerjasama dengan peguam SABAR, iaitu pihak plaintif dalam kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Yong, langkah kedua yang perlu diambil ialah meluluskan satu usul dalam sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-17 bagi menyatakan sokongan penuh terhadap kes yang difailkan SABAR terhadap Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, usul itu juga perlu memperuntukkan sumber tenaga kerja, kepakaran penyelidikan serta dana kewangan bagi memastikan Sabah dapat mempertahankan hak maritimnya secara berkesan.

“Semua tindakan ini boleh dilaksanakan seawal November 2025 sekiranya kerajaan baharu benar-benar serius mempertahankan kepentingan rakyat dan negeri,” tegasnya.

Sehubungan itu, SAPP menyeru semua parti politik dan calon yang bertanding dalam PRN akan datang supaya bersumpah dan berikrar untuk mendesak kerajaan baharu mengambil alih kes ini tanpa syarat dan tanpa keraguan.

Katanya, komitmen bersama itu amat penting demi masa depan Sabah serta kesejahteraan generasi akan datang.

Yong turut mengimbas kembali pengalaman SAPP dalam kes Borneonisasi (2011–2012) yang difailkan pesara polis, Bernard Fung, dan bekas guru, Nazib Maidan, bagi menuntut pelaksanaan janji Borneonisasi perkhidmatan awam seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, halangan utama ketika itu termasuk kesukaran mendapatkan akses rekod kerajaan, selain beban kos, masa dan tenaga walaupun peguam mengendalikan kes tersebut secara pro bono (tanpa bayaran).

“Namun, pertaruhan dalam kes Akta Laut Wilayah ini jauh lebih besar kerana ia menyentuh isu sumber asli, wilayah maritim serta faktor kewangan dan geopolitik yang kritikal kepada pembangunan serta keselamatan Sabah,” katanya.

Yong, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah (1996–1998), menegaskan rakyat tidak boleh berkompromi dalam isu ini kerana ia menyentuh kedaulatan negeri. – pr/BNN