KENINGAU: Suasana penuh keakraban dan kenangan lama mewarnai Jemputan Tamu Solidariti Katedral St. Francis Xavier (KSFX) Ke-21 di Dataran Dewan Kekitaan, Rumah Retreat Keuskupan (RRK) Tatal, di sini semalam, apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, hadir bersama warga Katolik dan masyarakat setempat.

Bagi Annuar, penyertaan itu bukan sekadar memenuhi jemputan rasmi, sebaliknya menjadi perjalanan pulang ke akar — ke tempat di mana nilai kasih, disiplin dan solidariti pernah tertanam kukuh dalam dirinya sejak zaman persekolahan di Sekolah St. Francis Xavier (SFX) Keningau, dari bangku rendah hingga menengah.

“Satu penghormatan besar buat saya dapat bersama warga RRK Tatal yang sentiasa berdedikasi dan komited. Majlis seperti ini amat bermakna kerana ia menyatukan umat, alumni dan masyarakat dalam semangat kekitaan yang utuh,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur atas usaha menggerakkan solidariti yang diyakini mampu memperkukuh nilai kemanusiaan, merapatkan hubungan antara generasi serta memperluas jaringan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kepimpinan.

Kehadiran Annuar disambut hangat, bukan hanya sebagai seorang wakil rakyat, tetapi sebagai anak warga SFX yang kembali dengan hati terbuka. Tanpa protokol, beliau menyapa, bergambar dan berbicara dengan rakan-rakan lama serta warga sekolah dengan penuh rendah hati.

Bagi ramai yang hadir, setiap langkah Annuar membayangkan politik bukan soal kuasa semata-mata, tetapi tentang kasih, keinsanan dan ikatan tulus dengan rakyat.

Pagi di Dataran Kekitaan itu meninggalkan mesej jelas — seorang pemimpin yang kembali ke asal usulnya tidak pernah jauh dari denyut nadi rakyatnya.-pr/BNN