KENINGAU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terus menzahirkan keprihatinannya terhadap pembangunan belia, kebajikan masyarakat serta aktiviti keagamaan di daerah ini menerusi beberapa siri sumbangan yang disalurkan baru-baru ini.

Dalam satu majlis di Kampung Bariawa Tengah, beliau melalui wakilnya, Pembantu Operasi Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Mohamad Raihan Jinode, menyampaikan dana dan jersi kepada Beliawanis kampung berkenaan yang diterima Ketua Beliawanis, Anastasia Sius Semata.

Menurut kenyataan Pejabat UPPM Liawan, sumbangan itu bertujuan menampung pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, bengkel kemahiran, gotong-royong kebersihan, program keusahawanan serta sambutan perayaan dan kebudayaan di kampung tersebut.

Selain itu, Mohamad Raihan turut menyampaikan sumbangan peribadi Annuar kepada seorang penduduk, Christino Justine @ Christino Satale, yang menghadapi masalah kesihatan, bagi meringankan beban kos rawatan yang ditanggungnya.

Pada masa sama, Kontinjen Badminton SAGA Keningau yang bakal mewakili daerah ke temasya Sukan Sabah (SAGA) XI di Tawau pada 11 hingga 16 Oktober ini turut menerima sumbangan.

Penyerahan dibuat kepada Setiausaha Persatuan Badminton Daerah Keningau, Ainey Sakim, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan tempatan.

Tidak terhad kepada aspek pembangunan belia dan sukan, Annuar juga menyalurkan sumbangan ikhlas kepada Komuniti Kristian Dasar (KKD) Kampung Kadalakan, yang disampaikan melalui Pemaju Mukim Lingkudau, Noritah Melvina Dungkian, kepada Pengerusi KKD, Bedah Yuging.

Menurut kenyataan sama, sumbangan itu bertujuan menampung kos pembelian pakaian seragam rasmi KKD, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dan penyertaan aktif ahli dalam kegiatan komuniti mereka.

Langkah menyantuni pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama atau latar belakang ini mencerminkan pendekatan kepimpinan Annuar yang kekal berasaskan tindakan dan keprihatinan.

Walaupun kini hanya menyandang jawatan wakil rakyat penggal lalu, beliau tetap konsisten mendampingi masyarakat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pemb-prangunan setempat.-pr/BNN