KENINGAU: Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Keningau Station bersama empat sayapnya menzahirkan sokongan padu terhadap pendirian lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta menegaskan komitmen untuk terus mendukung kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Ketua PDM Keningau Station, Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat khas yang dihadiri ahli-ahli STAR Sabah dari PDM berkenaan, termasuk wakil empat sayap parti.
Beliau berkata, PDM Keningau Station turut menyatakan sokongan penuh kepada penyandang ADUN N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, yang konsisten mempertahankan komitmen dan kesetiaan terhadap perjuangan dalam GRS demi kestabilan politik negeri.
“Kita memerlukan kestabilan politik di Sabah, kerana hanya melalui kestabilan itu pembangunan dapat diteruskan dengan lancar demi kepentingan rakyat.
Kesinambungan pembangunan di bawah kepimpinan Hajiji mesti dikekalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Hasnan, ahli-ahli PDM Keningau Station berdiri teguh bersama GRS sebagai tanda kesetiaan dan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri yang disifatkan berjiwa rakyat serta berorientasikan pembangunan.
“Kami percaya perjuangan bersama GRS adalah landasan terbaik untuk menjamin kemajuan kawasan Bingkor serta kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhannya,” tambahnya.
Beliau menambah, sokongan berterusan kepada GRS bukan sekadar lambang solidariti politik, tetapi juga satu kepercayaan bahawa kepimpinan Hajiji membawa hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah secara menyeluruh dan inklusif.-pr/BNN





