KENINGAU: Kejohanan Taekwondo Piala Rafie Robert 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh semangat juang, disiplin tinggi dan nilai kesukanan yang membanggakan apabila lebih 350 peserta dari seluruh Sabah dan Sarawak berentap dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan SMK Gunsanad 2, di sini, semalam.

Majlis penutupan rasmi disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert merangkap penaung kejohanan, yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas penganjuran kejohanan yang berjalan lancar dan berprestij itu.

Turut hadir ialah Grandmaster Dr. Rajan, Presiden Kelab Taekwondo Aelma merangkap Pengerusi Penganjur Kejohanan, bersama para pegawai, jurulatih, peserta, ibu bapa dan penyokong yang membanjiri dewan dengan sorakan semangat kesukanan.

Majlis penutupan turut dimeriahkan dengan gimik istimewa “pecah papan” oleh Rafie Robert yang menjadi simbol keberanian, semangat juang dan keteguhan disiplin dalam arena Taekwondo.

Beliau turut menyeru agar kejohanan seperti ini terus dianjurkan secara berterusan bagi memupuk semangat juang, disiplin dan daya saing sihat dalam kalangan belia.

Kejohanan edisi 2025 ini menghimpunkan penyertaan 350 atlet dari pelbagai kelab Taekwondo di Sabah dan Sarawak yang bersaing secara sengit namun berteraskan semangat kesukanan tinggi sepanjang pertandingan.

Keputusan keseluruhan kejohanan menyaksikan Kelab Taekwondo Aelma Master Erlie muncul sebagai Juara Keseluruhan, diikuti oleh Kelab Taekwondo Aelma Master Aling yang meraih gelaran Naib Juara. Tempat Ketiga pula dimenangi oleh Kelab Taekwondo Aelma Master Rostin, manakala Unique Kan Taekwondo Club berada di Tempat Keempat.

Antara kelab lain yang turut menyerlah termasuk Crocker Ranger Taekwondo, Kelab Taekwondo Chung Hwa Lawas, Kelab Taekwondo MTH, dan Kelab Taekwondo Lawas.

Penganjuran Kejohanan Taekwondo Piala Rafie Robert bukan sahaja memperkukuh semangat kesukanan dan disiplin dalam kalangan peserta, malah menjadi platform penting melahirkan generasi pelapis baharu dalam sukan Taekwondo yang berpotensi mewakili negeri dan negara pada masa hadapan.

Majlis penutupan turut diserikan dengan penyampaian hadiah dan cenderamata kenangan kepada penaung kejohanan serta sesi bergambar bersama tetamu kehormat, jurulatih dan peserta yang menandakan berakhirnya kejohanan penuh bermakna itu.-pr/BNN