KENINGAU: Pusat Daerah Mengundi (PDM) Liau bersama empat sayap Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) — Wiramuda, Wiranita, Wiramaja dan Wiramas — sebulat suara berikrar untuk terus kekal bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Ketua PDM Liau, Harry Gitik, bersama barisan kepimpinan keempat-empat sayap berkenaan, sekali gus memperkukuh sokongan akar umbi terhadap gabungan itu yang diterajui oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Harry berkata, keputusan PDM Liau itu turut menzahirkan sokongan penuh terhadap pendirian penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, bersama empat ADUN lain yang kekal bersama GRS.
“Langkah ini selaras dengan pendirian PDM Keningau Station yang lebih awal menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Hajiji. Kami percaya hala tuju politik yang jelas dan stabil amat penting bagi memastikan pembangunan negeri terus berjalan lancar,” katanya.
Menurut beliau, kepimpinan Hajiji telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri dengan berkesan melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang memberi impak langsung kepada rakyat termasuk di kawasan Bingkor.
“Pelbagai projek infrastruktur, bantuan ekonomi dan inisiatif komuniti telah dilaksanakan, hasil keprihatinan kerajaan GRS terhadap keperluan rakyat luar bandar,” katanya.
Harry menegaskan bahawa PDM Liau berpandangan dasar SMJ perlu diteruskan bagi menjamin kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah secara menyeluruh.
“Selagi kepimpinan negeri berada di landasan yang betul dan terus mengutamakan rakyat, kami akan kekal memberi sokongan padu kepada kerajaan GRS,” katanya.-pr/BNN





