TAWAU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan inklusif melalui penganjuran Program Lonjakan Motivasi Pendidikan Luar Bandar (PRO MUDA) di SMK Wallace Bay, baru-baru ini.

Selama tiga hari, program itu menghimpunkan warga kampus bersama pelajar luar bandar dalam usaha memupuk keyakinan, semangat dan potensi anak muda Sabah.

Ia melibatkan kerjasama Pusat Alumni UMS, Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPPS), Kolej Kediaman Kingfisher, Usia 1B serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau.

Pensyarah Kanan FPPS merangkap Felo Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar, Dr. Frederick Josue @ Mohd Fadhil Abdullah, berkata PRO MUDA membuktikan komitmen UMS terhadap tanggungjawab sosial universiti.

“Ia bukan sekadar program motivasi, tetapi satu gerakan kesedaran — membawa harapan, ilmu dan inspirasi terus ke sekolah luar bandar,” katanya.

Antara aktiviti utama termasuk bengkel STEM berasaskan pengalaman sebenar, perkongsian inspirasi alumni, sesi mentor-mentee bersama mahasiswa serta aktiviti eksplorasi dan kebudayaan tempatan.

Kehadiran alumni sebagai fasilitator turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kehidupan kampus dan peluang pendidikan tinggi selepas SPM, sekali gus membuktikan bahawa latar luar bandar bukan penghalang kepada kejayaan.

Menurut Dr. Frederick, PRO MUDA selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

“UMS bukan sekadar menara gading, tetapi rakan strategik komuniti luar bandar dalam membentuk modal insan berdaya saing,” ujarnya.

Susulan kejayaan pelaksanaan di Tawau, UMS berhasrat memperluas inisiatif PRO MUDA ke seluruh Sabah bagi memastikan pendidikan terus menjadi jambatan masa depan untuk semua.-pr/BNN