KOTA KINABALU: Penguasaan bahasa kebangsaan sentiasa menjadi perkara yang diberi keutamaan oleh kerajaan kerana ia memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat serta membentuk jati diri bangsa Malaysia.

Justeru, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam mempromosi bahasa kebangsaan di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji haji Noor.

Ketua Menteri berkata ini termasuk memperkukuh ekosistem bahasa, sastera dan penerbitan di negeri ini melalui pelbagai bentuk kolaborasi strategik, serta dalam bidang penerbitan ilmiah, pengembangan bakat penulis muda dan penyelidikan bahasa dan dialek tempatan Sabah.

“Saya berharap agar sinergi ini akan terus diperkukuh supaya Sabah menjadi antara negeri terkehadapan dalam pemupukan budaya ilmu dan penggunaan bahasa kebangsaan yang cemerlang,” katanya sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Dewan Amil Jaya, DBP cawangan Sabah hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Speaker Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya.Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen beliau supaya penggunaan bahasa Melayu diperkukuhkan, katanya.

Hajiji berkata penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan wajar diteruskan sebagai wahana untuk menyemai rasa cinta terhadap bahasa serta memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum.

“Pelbagai usaha dibuat termasuk program ini bukan saja untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi penting tetapi juga bahasa ilmu, budaya dan perpaduan.

“Ini sudah tentu akan membantu memastikan rakyat berbilang bangsa di negara ini terus menguasai bahasa kebangsaan ini,” katanya.

Hajiji berharap melalui pelbagai program yang diadakan bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan ini, ia dapat mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara; mengeratkan serta memperkukuh perpaduan bangsa menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; serta menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara.

“Saya juga amat menyambut baik penganjuran Karnival Bahasa Jiwa Bangsa yang diadakan bersempena dengan kempen Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah, sempena Bulan Bahasa Kebangsaan ini.

“Usaha sebegini menunjukkan bahawa bahasa Melayu terus hidup dan subur dalam jiwa rakyat Sabah, dan menjadi simbol perpaduan, keilmuan, dan kemajuan kita melalui bahasa yang mempersatukan bangsa.

“Penglibatan pelbagai pihak dari peringkat pelajar hinggalah masyarakat awam, sesuai demi memastikan roh dan jiwa “Bahasa Jiwa Bangsa” dirasai oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berharap dengan segala usaha yang dilaksanakan ini, generasi muda akan terus mencintai bahasa kebangsaan selain menguasai pelbagai bahasa lagi.

“Saya yakin melalui kerjasama erat antara DBP, Kementerian Pendidikan Malaysia, dan kerajaan negeri, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan akan terus diperkukuh, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.-pr/BNN