TENOM: Persatuan Gana Sabah (PGS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Timbalan Presiden I Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Julianah Kuli serta seluruh kakitangan DBP yang telah menjayakan Bengkel Pendokumentasian Bahasa Sukuan Etnik Sabah baru-baru ini.
Presiden PGS, Julius Favianus @ Mohd. Hafiz, berkata bengkel tersebut bukan sahaja memperkukuh usaha memelihara warisan bahasa etnik di negeri ini, malah menjadi wadah mempererat hubungan antara pelbagai persatuan etnik Murut dan Dusun di Sabah.
“Kami amat menghargai kesungguhan DBP Sabah dalam membantu komuniti etnik mengekalkan identiti bahasa masing-masing. Bengkel ini membuka ruang kolaborasi lebih luas antara PGS dan rakan-rakan persatuan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara yang turut serta ialah Persatuan Murut Nabai Sabah, Persatuan Murut Timugon Sabah, Persatuan Murut Paluan Sabah, Persatuan Murut Tangkala Sabah, dan Persatuan Murut Okolod Sabah.
Menurut Julius, penganjuran bengkel ini telah mencipta satu pengalaman bermakna yang melahirkan semangat persaudaraan baharu dalam kalangan peserta.
> “Satu perkenalan, satu pertemuan, satu ikatan persaudaraan – itulah yang kami rasakan. Hubungan yang terjalin ini sukar untuk kami lupakan,” tambahnya.
PGS turut berharap usaha pendokumentasian bahasa etnik seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh identiti dan perpaduan masyarakat pelbagai etnik di Sabah.-pr/BNN





