KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan insiden melibatkan Tei Jiann Cheing, atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada 23 Oktober lalu, susulan laporan media dan video tular berkaitan kejadian itu.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata hasil siasatan mendapati nama Albert Tei tersenarai dalam rekod Notis Arahan Sekatan (NAS) yang masih aktif di bawah arahan pihak berkuasa negeri.
Ketika pemeriksaan, Albert memaklumkan tujuannya ke Sabah adalah untuk bertemu rakan dan gagal mengemukakan bukti atau dokumen berkaitan urusan rasmi, termasuk surat panggilan mahkamah.
“Berdasarkan syarat NAS, beliau hanya dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan menghadiri prosiding mahkamah. Oleh kerana tiada dokumen dikemukakan, pegawai bertugas mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sitti Saleha turut menjelaskan bahawa individu sama pernah dibenarkan masuk pada September 2025 setelah mengemukakan dokumen panggilan mahkamah, menunjukkan beliau sedar akan prosedur kemasukan yang perlu dipatuhi.
Beliau menegaskan dakwaan peguam Albert bahawa anak guamnya dihalang menghadiri prosiding mahkamah adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Tindakan pegawai adalah berdasarkan Standard Operating Procedure (SOP) sedia ada dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak. Semua keputusan dibuat berpandukan undang-undang serta dokumen yang dikemukakan semasa pemeriksaan,” jelasnya.
JIM menasihatkan mana-mana individu yang tertakluk kepada NAS supaya mematuhi syarat kemasukan dan menyediakan dokumen lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan di pintu masuk negeri.
Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara serta menjunjung prinsip profesionalisme, integriti dan pematuhan undang-undang dalam semua urusan perkhidmatan.-BNN





