PUTATAN: Penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya masih mempertimbangkan sebarang kemungkinan yang berlaku dalam perkembangan senario politik terkini.

Menyedari akan tindakan bakal di saman oleh Barisan Nasional (BN) sekiranya bertanding atas tiket lain, jawabnya masih ada ruang untuk membuat sebarang keputusan.

“Saya mengambil maklum terhadap itu dan masih dalam proses mempertimbangkan kedudukan politik.

“Bagaimana saya katakan, dalam politik ini tiga minggu adalah satu jangka masa yang agak lama.

“Macam-macam boleh terjadi, ” katanya ketika menjawab persoalan media berhubung kedudukannya sebagai Ahli Parlimen BN yang kini berdepan dengan tindakan saman oleh parti tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program penyerahan isentif kontinjen Putatan yang menerima pingat pada kejohanan SAGA Sabah, di Pejabat Daerah Putatan, hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan, Shahelmey dan Datuk Andi Surady (Ahli Parlimen Kalabakan) bakal berdepan tindakan saman RM100 juta sekiranya bertanding atas tiket GRS pada pilihan raya negeri nanti.

Untuk rekod, Shahelmey dan Andi yang juga penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat dan Tanjung Batu itu telah digantung keahlian selama enam tahun kerana tidak menyokong kepimpinan UMNO negeri Sabah dalam episod Langkah Kinabalu pada tahun 2023.-pr/BNN