KUNDASANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyempurnakan majlis Pecah Tanah Pusat Penjaja Moden Kundasang, bernilai RM2.275 juta yang dijangka siap Jun 2026 dan bakal memberi manfaat 90 usahawan tempatan.

Beliau berkata, projek di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui UDA Holdings Berhad dengan kerjasama Majlis Daerah Ranau itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 1.5 ekar.

“Apabila siap kelak, ia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden termasuk gerai jualan, tandas awam, medan selera, stor dan surau, untuk memberi keselesaan kepada para penjaja dan pengunjung tempatan dan luar daerah.

“Pembinaan pusat itu bukan sekadar projek fizikal tetapi merupakan cerminan tekad kerajaan memperkukuh ekonomi rakyat akar umbi, khususnya penjaja kecil, peniaga luar bandar dan usahawan mikro,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Pusat Penjaja Moden Kundasang, di sini, hari ini.

Ewon berkata, projek itu adalah kesinambungan daripada konsep Tamu Desa yang diperkenalkan oleh KUSKOP, dengan penambahbaikan dari segi reka bentuk, kemudahan moden bercirikan identiti tempatan serta elemen kelestarian alam sekitar.

“Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), UDA melalui program Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) telah diberikan mandat untuk menyediakan infrastruktur keusahawanan bagi memperkukuh ekosistem usahawan mikro dan penjaja di seluruh negara,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Ranau kerana menyediakan tapak strategik serta memberi sokongan teknikal di peringkat daerah.

“Terima kasih juga kepada Bank Rakyat kerana menjadi rakan strategik melalui pelaksanaan Skim Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) dan Program Jajahan Bank Rakyat bagi membantu pembiayaan serta pendigitalan perniagaan.

“Inilah semangat konsep Whole of Government, gabungan usaha kerajaan persekutuan, negeri, agensi dan pihak berkuasa tempatan dalam menghasilkan penyelesaian inovatif yang memberi impak besar kepada rakyat,” katanya.

Ewon berkata, sinergi antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan perlu diperluas agar manfaat pembangunan benar-benar sampai kepada masyarakat luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, pembangunan komuniti tidak hanya bergantung pada infrastruktur semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi akses pembiayaan, pendigitalan dan latihan keusahawanan.

“Dengan pendekatan menyeluruh ini, penjaja di Kundasang dan sekitarnya dapat berkembang menjadi usahawan berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi daerah.

“Saya berharap pembinaan pusat ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, meningkatkan pendapatan penduduk, membuka peluang pekerjaan, serta memperkukuh sektor pelancongan luar bandar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026),” katanya.-pr/BNN