KENINGAU: Isu tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah perlu ditangani secara berhemah, berasaskan fakta serta berpaksikan semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, bukan dijadikan polemik politik.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik, menegaskan bahawa perkara itu menyentuh bukan sahaja hak perlembagaan Sabah, tetapi juga kesejahteraan rakyat negeri ini secara keseluruhannya.
“Bagi pihak PKMB, kami berpandangan isu ini bukan sekadar soal politik, tetapi berkaitan hak dan masa depan rakyat Sabah. Oleh itu, ia perlu dibincangkan dengan tenang dan berlandaskan semangat saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, setiap perbincangan antara dua kerajaan perlu terus berpaksikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) agar Sabah menikmati manfaat yang setimpal dengan sumbangan hasilnya, tanpa mengabaikan kepentingan nasional.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan hubungan Persekutuan–Negeri kekal harmoni serta memperkukuh perpaduan dalam kerangka Malaysia yang adil dan seimbang.
Yazid turut menekankan bahawa perdebatan terbuka tanpa asas kukuh hanya akan menimbulkan kekeliruan dan jurang persefahaman antara rakyat.
“Apa yang perlu diutamakan kini ialah komitmen berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk mencapai penyelesaian yang adil, praktikal dan memberi manfaat kepada rakyat. Ini bukan masa untuk menuding jari,” ujarnya.
Sehubungan itu, PKMB menyeru semua pihak – termasuk pemimpin politik, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat – untuk terus mencari titik pertemuan terbaik demi masa depan Sabah yang lebih makmur.
“Perjuangan menuntut hak negeri perlu disertai dengan kebijaksanaan dan tanggungjawab bersama. Hanya dengan cara itu kita dapat membina negara yang lebih adil dan seimbang,” katanya.-pr/BNN





