KENINGAU: Semangat perjuangan dan keprihatinan terhadap rakyat terus menjadi pegangan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman @ Banand, yang menyeru masyarakat agar terus memberikan sokongan padu kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan politik dan kemajuan negeri.
Annuar berkata, GRS terbukti sebagai landasan politik yang berprinsip, berorientasikan rakyat serta mengutamakan keikhlasan dalam berkhidmat tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
“Kita mahu Sabah terus stabil dan maju. Kestabilan politik yang dipimpin oleh GRS adalah asas kepada pembangunan mampan, peluang ekonomi lebih luas dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Sebagai pemimpin berpengalaman dan berjiwa rakyat, Annuar menegaskan bahawa mandat yang diberikan bukan sekadar kuasa politik, tetapi satu amanah besar untuk membangunkan kawasan luar bandar, memperkukuh peluang ekonomi dan memperluas akses pendidikan serta kemudahan asas bagi semua lapisan masyarakat di Liawan.
Beliau berkata, pendekatan GRS yang menekankan pelaksanaan dasar secara inklusif telah membuahkan hasil positif, terutama dalam menambah baik kemudahan infrastruktur luar bandar, memperkukuh jaringan jalan raya dan memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan serta pendidikan.
Katanya, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap pembangunan rakyat dengan memastikan setiap dasar kerajaan negeri memberi impak langsung kepada masyarakat.
“GRS bukan sekadar bercakap tentang pembangunan, tetapi melaksanakannya. Dari pembinaan jalan baharu, peluang pekerjaan kepada belia, hingga sokongan kepada usahawan tempatan – semua ini hasil kesungguhan dan perancangan jangka panjang kerajaan negeri,” jelasnya.
Menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (DU) Sabah , Annuar menyeru seluruh pengundi di kawasan N.41 Liawan agar mengekalkan sokongan kepada GRS demi kesinambungan pembangunan yang telah dirancang.
“Teruskan menyokong GRS. Jangan biarkan kestabilan yang kita bina bersama ini tergugat. Hanya dengan kerajaan yang kukuh dan berpengalaman, kita dapat memastikan masa depan Sabah kekal cerah dan makmur,” tegasnya.
Dengan semangat perjuangan yang konsisten dan pendekatan turun padang, Annuar terus menjadi lambang kesungguhan GRS dalam memastikan kemajuan tidak hanya tertumpu di bandar, tetapi turut dirasai oleh penduduk luar bandar di Keningau dan sekitarnya.
Fakta PRU17 Sabah: Penamaan Calon: 15 November 2025 (Sabtu). Pengundian Awal: 25 November 2025 (Selasa). Hari Mengundi: 29 November 2025 (Sabtu).-pr/BNN





