KENINGAU : Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tangkongon, Venesius Posius Uddie, menyeru masyarakat Bingkor agar hadir memeriahkan Program Jelajah Sinar Kasih BMBR 2.0 yang akan berlangsung pada 1 November ini, bermula jam 8 pagi di Dewan Terbuka Kampung Tangkongon.

Beliau memuji inisiatif Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Datuk Robert, bersama penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik, yang disifatkannya sebagai langkah berimpak besar terhadap kebajikan masyarakat.

“Program ini bukan sekadar agihan sumbangan, tetapi simbol kasih pemimpin yang mendengar dan memahami rakyat. Saya menyeru semua — belia, ibu bapa dan warga emas — hadir serta manfaatkan kemudahan yang disediakan,” katanya.

Antara pengisian menarik program itu termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pemberian bakul makanan, bantuan barangan asas, pampers percuma, insurans keluarga, pemeriksaan mata, simkad percuma, jualan Rahmah Madani, pertandingan mewarna kanak-kanak serta cabutan bertuah.

Venesius berkata, tema “Bingkor Membangun Bersama Rakyat” menggambarkan semangat kebersamaan antara pemimpin dan masyarakat dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti luar bandar.

“Ini bukan program sekali-sekala, tetapi kesinambungan usaha membangun bersama rakyat. Mari kita hadir, menyokong dan mengambil bahagian,” ujarnya.

Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat Bingkor dan penyertaan adalah percuma.-pr/BNN