KENINGAU: Di tengah pekan kecil Bingkor, suasana All Souls’ Day disambut dengan bunga, doa dan kenangan kasih yang abadi. Dua pengusaha tempatan, Eyian Sharintta dari Kampung Mongitom dan Lily Merlyn Olok dari Kampung Bandukan Baru, menjadikan perayaan ini bukan sekadar peluang berniaga, tetapi wadah menyemai kasih dan pengharapan.
Eyian, pemilik First Art Florist 2, berkata setiap jambangan bunga yang disusunnya membawa makna mendalam.
“Saya rasa tenang setiap kali membantu keluarga menzahirkan kasih mereka melalui bunga,” katanya.
Lily Merlyn, guru di SMK Bingkor yang juga jemaat Gereja St. Mary Bingkor, turut menjual bunga setiap tahun bagi menyemarakkan suasana peringatan.
“All Souls’ Day mengingatkan kita bahawa kasih tidak pernah mati, hanya berubah bentuk,” ujarnya.
Bagi pengunjung seperti Salinah Angkub Mansai dari Kampung Ontolob, kehadiran peniaga bunga memudahkan urusan mereka menghias pusara.
“Bunga ini lambang kasih yang menghubungkan kita dengan mereka yang telah tiada,” katanya.
Setiap lilin yang dinyalakan di pusara menjadi simbol doa dan kenangan – seolah-olah bisikan halus kepada yang telah pergi: terima kasih atas kasih yang pernah diberi.
Di Bingkor, All Souls’ Day bukan sekadar tradisi, tetapi renungan tentang kehidupan, kematian dan kasih yang kekal hidup di antara batu nisan.
“Kasih tidak pernah padam — ia terus bernyala seperti lilin kecil yang menolak gelap.”-pr/BNN





