KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah membentangkan sebanyak sembilan syor penambahbaikan tatakelola kepada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berhubung pengurusan agihan zakat di negeri itu.

Antara syor itu ialah menambahbaik Perkara 5.3.1 dan Perkara 5.3.2 dalam Manual Prosedur Pengurusan Agihan Zakat (Pindaan 2023) dengan memperincikan “individu” kepada kakitangan Bahagian Zakat dan Fitrah dan “organisasi” iaitu merujuk kepada Ejen Pungutan Zakat.

Cadangan lain ialah menambah bahagian yang terlibat secara langsung iaitu kakitangan Bahagian Zakat dan Fitrah yang mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat seperti pungutan, agihan dan urusan kewangan di bahagian tersebut.

Syor yang dibentangkan oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah turut mencadangkan agar meletakkan had nilai yang munasabah dan hendaklah dimaklumkan serta mendapat pertimbangan daripada Majlis Tertinggi MUIS sebelum sesuatu perbelanjaan atau apa-apa perkara dilakukan.

Justeru, SPRM Sabah telah mengenalpasti sembilan syor penambahbaikan tatakelola di dalam amalan, sistem dan tatacara kerja berkaitan pengurusan agihan wang zakat dalam manual prosedur pengurusan agihan zakat (Pindaan 2023) di Bahagian Zakat dan Fitrah, MUIS.

Sementara itu, Setiausaha dan juga Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali menyambut baik cadangan penambahbaikan dan bersetuju untuk mengambil tindakan bagi mengatasi kelemahan yang dikemukakan oleh SPRM Sabah.

“Saya amat berterima kasih kepada SPRM Sabah kerana telah membantu MUIS dalam usaha untuk menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan,” katanya selepas menandatangani dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang diadakan di pejabat MUIS pada Jumaat lalu. – pr/BNN