KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau sepenuhnya perjalanan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang berkata, kenyataan SPRM itu bagaimanapun tidak seharusnya tinggal sebagai ungkapan semata-mata.
Sebaliknya katanya, ia harus diterjemahkan melalui tindakan nyata dan tegas di lapangan bagi membuktikan komitmen dan kesungguhan SPRM itu sendiri.
“‘Walk the talk’, kenyataan SPRM ini perlu jadi realiti, bukan hanya kata-kata. SPRM mesti benar-benar memantau segala unsur rasuah sepanjang kempen dan hari pengundian berlangsung.
“Kenyataan SPRM ini perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang nyata. Rakyat mahu melihat komitmen sebenar SPRM dalam memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dengan telus, adil dan bebas daripada sebarang bentuk rasuah.
“SPRM mesti benar-benar turun padang memantau segala aktiviti sepanjang tempoh kempen hingga ke hari pengundian, termasuk terhadap sebarang cubaan membeli undi, pemberian habuan politik, penyalahgunaan jentera kerajaan serta sebarang bentuk sogokan yang boleh mempengaruhi keputusan pengundi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira kedudukan atau parti politik mana yang terlibat dalam salah laku sepanjang PRU Sabah kali ini.
“Hanya dengan langkah yang berani dan konsisten, SPRM dapat mengembalikan keyakinan rakyat bahawa institusi ini benar-benar bebas, berintegriti dan serius dalam membanteras rasuah dalam proses demokrasi negara.
“SPRM perlu memastikan tindakan tegas dan menjatuhkan hukuman yang sepatutnya terhadap parti atau calon yang terbabit dalam amalan rasuah pilihan raya. Rakyat mahu lihat SPRM benar-benar membanteras gejala ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Felix juga merupakan Ketua Bahagian UPKO Beluran turut mencadangkan agar SPRM menambah bilangan pegawai pemantau di setiap kawasan DU bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh dan berkesan.
“Kita minta SPRM melantik sekurang-kurangnya 73 pegawai untuk setiap DU di Sabah, bukan hanya 40 seperti yang diumumkan. Kawasan di Sabah luas dan mencabar, memerlukan pengawasan yang lebih menyeluruh,” ujarnya.
Felix menegaskan, Pemuda UPKO akan terus menyokong usaha mana-mana agensi penguatkuasaan termasuk SPRM dalam memastikan PRN Sabah kali ini berlangsung secara bersih, telus dan berintegriti tinggi, demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.-pr/BNN





