KENINGAU: Usaha meringankan beban petani terus diperkasakan apabila Timbalan Penyelaras Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Parlimen Keningau, Dato’ Mohd Ishak Datuk Ayub, menyampaikan sumbangan racun perosak padi dan racun rumput kepada petani di Kampung Bingkor Bawah, semalam.

Program yang diadakan di kawasan sawah padi Micheal Booh itu disambut dengan penuh rasa syukur oleh petani tempatan yang berdepan cabaran hasil tanaman akibat serangan perosak dan rumput liar.

Ishak berkata, sumbangan itu adalah langkah segera membantu petani mengekalkan hasil tanaman, selain membuktikan komitmen pemimpin dalam mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita mahu pastikan petani terus produktif dan tidak terjejas oleh masalah yang boleh diatasi dengan sokongan asas seperti ini,” katanya.

Beliau turut meluangkan masa mendengar keluhan serta cadangan para petani bagi memperkukuh sektor pertanian di kawasan Bingkor, sekali gus memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.-pr/BNN