KOTA KINABALU: Fenomena politik di Dewan Undangan Inanam semakin hangat dengan pelbagai spekulasi mengenai bakal calon yang akan diketengahkan oleh parti-parti utama.
Terbaru, angin bertiup kencang apabila Ketua Bahagian, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook dikatakan bakal dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bekas Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) DUN Inanam, itu bukanlah nama asing dalam kalangan masyarakat Inanam, malah beliau sememangnya telah lama berkhidmat sebagai pemimpin akar umbi yang gigih memperjuangkan kepentingan penduduk setempat melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan.
Selain itu, peranan beliau semasa menerajui Pemimpin Kemajuan Rakyat turut mendapat pengiktirafan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Wong dikenali sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat, khususnya dalam menyuarakan isu-isu tempatan seperti pembangunan infrastruktur, peluang ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat bandar dan luar bandar.
Dalam kalangan penduduk setempat, nama beliau sering dikaitkan dengan pelbagai program komuniti seperti aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan selain sering menyantuni golongan berpendapatan rendah di DU Inanam.
Meskipun, masih berada dalam komponen Pakatan Harapan (PH), khabar mengenai kemungkinan pencalonan Wong dilihat sebagai sesuatu yang mendapat sokongan padu dari akar umbi, terutamanya mereka yang pernah melihat hasil kerjanya sebelum ini.
Beberapa pemerhati politik tempatan berpendapat, kehadiran Wong dalam gelanggang politik mampu memberikan nilai tambah kepada PH dan UPKO, khususnya dalam memperkukuh sokongan pengundi Cina dan bumiputera bandar di kawasan Inanam.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Cyril Supain berkata, kekuatan Wong terletak pada hubungan peribadi yang erat dengan penduduk setempat serta kemampuan beliau menyantuni pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Ini menjadikan beliau antara calon yang sukar disaingi dari segi pengaruh akar umbi. Rata-rata rakyat menyatakan keyakinan akan kemampuan ahli politik terbabit membawa suara rakyat Inanam ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberi peluang untuk berkhidmat.
“Mereka melihat pengalaman dan jaringan luas beliau sebagai faktor penting dalam mempercepat pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan tempatan.
“Selain itu, gaya kepimpinan beliau yang sederhana, mesra rakyat dan tidak gemar menonjol diri menjadikannya antara figura politik yang dihormati oleh pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan ahli parti lain,” katanya.
Sementara itu, sumber dalaman parti pula tidak menafikan bahawa nama Wong antara yang sedang dipertimbangkan dalam rundingan awal bagi menentukan calon berpotensi.
Bagaimanapun, keputusan rasmi masih tertakluk kepada persetujuan pucuk pimpinan tertinggi UPKO dan pimpinan Pakatan Harapan.
Sekiranya pencalonan beliau disahkan, Wong dijangka berdepan persaingan sengit daripada calon parti lawan yang turut berhasrat menawan kembali kerusi DU Inanam yang selama ini dianggap antara kerusi panas di kawasan bandar di bawah Parlimen Sepanggar.
Dengan momentum politik yang semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Sabah, kemunculan semula nama Wong Thien Fook dalam senarai calon berpotensi dilihat sebagai satu perkembangan menarik yang bakal mewarnai lanskap politik di DU Inanam.-pr/BNN





