KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan melancarkan Jelajah ‘Sabah First’ yang akan diselaraskan dengan konvensyen parti peringkat Bahagian, sebagai langkah memperkukuh dan memaklumkan pendirian parti kepada akar umbi.
Cadangan ini akan dibentangkan oleh Ketua Penerangan UPKO, Dr. Peter Jr Naintin, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO yang akan bersidang esok, 5 November.
Menurut Dr. Peter, jelajah tersebut akan memberi penekanan kepada penjelasan mendalam berkenaan pendirian UPKO berhubung keputusan semakan penghakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini, yang mengiktiraf hak 40 peratus Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
“UPKO bukan sekadar menghormati, malah menyambut dengan penuh semangat keputusan bersejarah Mahkamah Tinggi itu, yang menegaskan untuk Kerajaan Persekutuan kembalikan hak Sabah seperti yang dijanjikan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan tertinggi dan ahli-ahli UPKO telah menyatakan sokongan padunya terhadap Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang telah menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet Persekutuan sekiranya rayuan difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) ke atas keputusan penghakiman oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan.
“Pendirian ini bukan retorik. Kami teguh bersama Presiden kami, sedia mengambil langkah berani demi mempertahankan hak Sabah,” tegas Dr. Peter.
Tambahnya lagi, jelajah ‘Sabah First’ ini juga akan dijadikan landasan untuk memperkasakan persiapan parti menghadapi pilihan raya umum negeri yang akan datang.
“UPKO akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum Sabah dengan semangat ‘Sabah First’ yang teracu dalam Perlembagaan parti kami, iaitu semangat yang berdiri atas dasar memperjuangkan pelaksanaan MA63 dan menuntut hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Langkah ini akan lebih menyatukan ahli dan penyokong, sekaligus memperjelas hala tuju UPKO sebagai parti yang konsisten mempertahankan kepentingan dan masa depan Sabah.-pr/BNN





