KENINGAU: Kepimpinan di Liawan menegaskan prinsip “Kerja dan Cakap – bukan Cakap saja”, dengan setiap pembangunan kampung dirancang serta dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermusim.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, berkata usaha membangunkan kawasan itu bukan berdasarkan janji manis, tetapi berpaksikan kepada rekod kerja nyata yang boleh dilihat dan dirasai rakyat.

“Kita tidak datang untuk berjanji tinggi-tinggi atau berlumba siapa paling pandai bercakap. Kita datang dengan kerja yang sudah berjalan, dengan bukti yang boleh dilihat sendiri oleh orang kampung,” katanya ketika berucap pada perjumpaan santai bersama penduduk Kampung Keritan Laut, semalam.

Beliau menjelaskan pembangunan di Liawan dilaksanakan secara terancang dan berfasa mengikut keperluan sebenar masyarakat setempat.

“Kerja ini bukan dibuat waktu pilihan raya saja. Kita buat kerana ini kampung kita, keluarga kita, dan masa depan anak-anak kita,” tegasnya.

Pertemuan itu turut menjadi platform penduduk menyuarakan keperluan serta cadangan penambahbaikan di kampung masing-masing, sekali gus memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.-pr/BNN