KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menafikan dakwaan kononnya berlaku salah guna kuasa dalam pentadbiran dan pengurusan dana Tabung Zakat seperti yang kembali tular di beberapa laman media sosial baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, MUIS menegaskan tuduhan tersebut merupakan dakwaan lama yang tidak berasas dan telah disiasat secara menyeluruh sebelum ini.

Menurut MUIS, isu berkenaan pernah mendapat perhatian Ketua Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Agama, yang telah mengarahkan siasatan dijalankan bagi memastikan ketelusan pengurusan institusi itu.

MUIS turut mengambil tindakan saman fitnah terhadap individu yang menyebarkan tuduhan tersebut, dan kes berkenaan kini masih dalam prosiding Mahkamah yang wajar dihormati semua pihak.

Bagi membuktikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan dana zakat, MUIS menjelaskan bahawa pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat keseluruhan akaun kewangan, termasuk Tabung Zakat. Hasil siasatan tidak menemui sebarang unsur salah laku atau jenayah terhadap mana-mana pegawai MUIS.

Selain itu, Jabatan Audit Negara turut menjalankan audit menyeluruh terhadap akaun kewangan MUIS setiap tahun, dan hasilnya MUIS telah dianugerahkan Sijil Tanpa Teguran selama lima tahun berturut-turut — membuktikan pengurusan kewangannya telus, berhemah dan mematuhi piawaian perakaunan serta undang-undang yang berkaitan.

Dari aspek pengurusan kualiti, MUIS telah memperoleh Pensijilan Antarabangsa MS ISO 9001:2015 sejak tahun 2021 selepas melalui audit tahunan oleh badan pensijilan bertauliah. MUIS juga kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (Anti-Bribery Management System – ABMS) MS ISO 37001:2016 sebagai komitmen untuk mengekang gejala rasuah dan memastikan tadbir urus bersih serta berintegriti.

MUIS turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai fitnah atau tohmahan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan imej institusi itu.

“MUIS akan terus berpegang kepada prinsip amanah dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Pihak kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan imej serta maruah MUIS,” menurut kenyataan itu. BNN