KENINGAU: Program santai bersama Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Robert di Keningau Station, Rumah Murah Keningau, menjadi wadah mesra mengeratkan hubungan antara kepimpinan GRS dan penduduk setempat.

Rafie dalam ucapannya menjelaskan kepentingan rakyat mengekalkan sokongan terhadap GRS bagi memastikan kestabilan pentadbiran serta kesinambungan agenda pembangunan negeri.

“Kita telah melihat banyak perubahan positif melalui pelaksanaan Pelan Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) dan agenda Sabah Maju Jaya. Namun untuk memastikan manfaatnya berterusan, kita perlukan sokongan padu rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan kesinambungan BMBR dan SMJ 2.0 perlu diperkukuh agar kemajuan yang dicapai terus dinikmati seluruh masyarakat, terutama golongan muda.

Program itu turut menjadi platform dialog terbuka antara penduduk dan kepimpinan GRS, dengan pelbagai pandangan serta idea dikongsi bagi memperkukuh agenda pembangunan kerajaan.

Rafie turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Wanita GRS PDM Keningau Station, Siti Rodziah Harun, atas kesudian menjadi tuan rumah serta sambutan mesra yang diberikan.

“Terima kasih kepada seluruh penduduk Rumah Murah Keningau atas sokongan dan keikhlasan. Inilah kekuatan kita – rakyat bersatu demi masa depan lebih baik,” katanya.

GRS Bahagian Keningau bertekad meneruskan pendekatan turun padang bagi mendengar suara rakyat dan memastikan pembangunan dilaksana secara inklusif demi kesejahteraan bersama.-pr/BNN