CYBERJAYA:Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius laporan terkini agensi berita Reuters yang mendedahkan bahawa syarikat Meta meraih keuntungan daripada iklan berkaitan penipuan, perjudian dalam talian, dan aktiviti haram.

MCMC berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Datuk Fahmi Fadzil, dan akan memanggil pihak Meta untuk memberikan penjelasan rasmi berhubung ketepatan pendedahan tersebut.

Pada masa sama, MCMC akan memulakan siasatan terhadap perkara berkenaan. Sekiranya terbukti benar, ini dianggap pelanggaran serius terhadap kepercayaan awam dan undang-undang negara.

Sebelum laporan berita itu diterbitkan, MCMC telah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa platform media sosial utama, termasuk Meta, berhubung isu iklan penipuan dan perjudian dalam talian.

Dalam sesi tersebut, MCMC menekankan kebimbangan terhadap jumlah permintaan penurunan kandungan amat tinggi yang perlu dikemukakan kepada Meta berbanding platform lain.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 4 November 2025, MCMC telah mengemukakan kepada Meta sebanyak 157,208 permintaan untuk menurunkan iklan aktiviti menyalahi undang-undang dalam talian dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan.

Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding platform lain. Dalam tempoh yang sama, permintaan penurunan iklan perjudian dalam talian dikemukakan kepada TikTok (3,956), Telegram (269), X (dahulunya Twitter) (11), dan YouTube (45,448).

MCMC sebelum ini telah menasihati Meta agar mengambil pendekatan lebih proaktif dalam membanteras aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian,memandangkan langkah sedia ada masih belum mencukupi dan aktiviti sebegini terus memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Bagi memastikan keselamatan dalam talian lebih berkesan, MCMC menegaskan bahawa semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet perlu dilesenkan secara sah, dan bertanggungjawab membuktikan sistem serta langkah-langkah untuk mencegah aktiviti haram.

Platform-platform berkenaan juga disaran melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

Sekiranya terdapat bukti bahawa mana-mana platform telah sengaja membantu atau bersubahat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang,tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang negara.-pr/BNN