KENINGAU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Encik Rafie Robert menzahirkan keprihatinan terhadap rakyat dengan menghulurkan sumbangan kewangan kepada penduduk Taman MDK Keningau, Encik Clifford Fabian Spencer bagi membantu membiayai rawatan ibunya, Puan Nairis Kingan.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) GRS Keningau Station, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles yang mewakili Encik Rafie kepada Clifford.
Clifford merakamkan penghargaan kepada kepimpinan GRS atas keprihatinan dan tindakan pantas membantu keluarganya yang berdepan situasi kecemasan.
“Kami amat menghargai bantuan dan perhatian yang diberikan oleh Encik Rafie. Ia benar-benar meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Rafie menegaskan bahawa GRS sentiasa komited menjaga kebajikan rakyat dan memastikan setiap lapisan masyarakat terus mendapat perhatian, terutama ketika berdepan kesusahan.
“Keutamaan kami ialah turun padang mendengar dan membantu rakyat tanpa mengira masa atau keadaan. Inilah semangat GRS – berkhidmat untuk semua,” katanya.-pr/BNN





