BINGKOR: Warga Kampung Buang Sayang kini giat melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah yang dijadualkan berlangsung bulan ini, dengan semangat kebersamaan dan kesediaan tinggi di peringkat akar umbi.

Menurut wakil penduduk, Petrus Justin, komuniti kampung berkenaan telah menubuhkan Markas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Buang Sayang sebagai pusat penyelarasan bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tuntumulud, yang meliputi lapan buah kampung sekitar kawasan itu.

“Persiapan ini dijalankan secara sukarela oleh penduduk yang ingin memastikan perjalanan pilihan raya dapat diurus dengan lancar dan teratur,” katanya ketika ditemui selepas sesi gotong-royong persediaan markas di sini.

Beliau berkata, usaha tersebut bukan semata-mata berkaitan politik, sebaliknya mencerminkan semangat perpaduan dan kesedaran sivik masyarakat luar bandar untuk bersama-sama menyertai proses demokrasi negeri.

“Kami di Kampung Buang Sayang sentiasa bersedia memberikan kerjasama penuh bagi memastikan urusan pilihan raya berjalan dengan baik. Persediaan ini juga lambang iltizam kami untuk terus bersatu demi kemajuan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda GRS Bahagian Keningau, Rafie Robert, menzahirkan penghargaan kepada warga kampung atas komitmen dan semangat gotong-royong mereka dalam menjayakan persediaan logistik pilihan raya di peringkat akar umbi.

“Saya amat menghargai semangat kebersamaan yang ditunjukkan penduduk Buang Sayang. Kerjasama ini menggambarkan kesatuan dan sokongan padu masyarakat terhadap usaha memastikan proses demokrasi berjalan secara teratur dan harmoni,” katanya.

Rafie berkata, penyertaan aktif rakyat di peringkat kampung amat penting kerana ia mencerminkan kekuatan sebenar masyarakat Bingkor dalam membina masa depan yang stabil dan bersatu di bawah gagasan GRS.-pr/BNN