KENINGAU: Suasana penuh semangat dan kekeluargaan menyelubungi Program Santai Petang bersama penduduk Kampung Minansut apabila komuniti setempat menzahirkan keyakinan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal sebagai parti lokal paling diyakini untuk memimpin masa depan Bingkor dan Sabah amnya.

Ketua Pemuda GRS Bahagian Keningau, Encik Rafie Robert, hadir bagi menyantuni penduduk serta berkongsi perkembangan politik semasa, khususnya hala tuju GRS dalam memperkukuh kestabilan politik dan pembangunan luar bandar.

Dalam ucapannya, Rafie menekankan kepentingan kesinambungan Pelan Pembangunan Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) yang digerakkan seiring dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, kesinambungan dasar ini penting bagi memastikan manfaat pembangunan — termasuk kemudahan asas, peluang ekonomi dan kebajikan keluarga luar bandar — terus sampai kepada rakyat tanpa gangguan.

“Kita di Bingkor tidak mahu berpatah balik. GRS telah membuktikan kemampuan membawa perubahan, dan kita akan terus berdiri teguh bersama,” katanya.

Penduduk Kampung Minansut turut menzahirkan sokongan padu terhadap kepimpinan GRS yang disifatkan konsisten memperjuangkan agenda rakyat.

Wakil penduduk, Fredrick Juip, berkata masyarakat kampung kini lebih yakin dengan hala tuju GRS yang memberi tumpuan kepada pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat.

“Kami mahu pembangunan yang berterusan, bukan janji sementara. GRS telah bersama rakyat selama ini dan kami yakin masa depan Bingkor lebih cerah di bawah GRS,” katanya.

Program santai tersebut turut diserikan dengan sesi dialog dan ramah mesra antara pemimpin muda GRS dan penduduk kampung, mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi asas kekuatan gabungan itu.-pr/BNN