KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia 2025 dengan tema “Ke Arah Masa Depan Inklusif: Memperkasa Hak, Pendidikan dan Kerjaya Orang Kurang Upaya” dalam sebuah majlis berprestij yang mencatat seramai 261 kehadiran dari pelbagai agensi. Acara ini dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, YBhg. Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor.
Program ini diterajui oleh Mahasiswa Orang Kurang Upaya (fizikal) selaku Pengarah Program, iaitu Dr. Hajah Fatimah Sabrina binti Moahmmad, pelajar Doktor Falsafah (PhD) dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, dengan sokongan aktif mahasiswa OKU dan juga buddies OKU yang menjadi tunjang pelaksanaan keseluruhan acara.
Dalam ucapan beliau, Dr. Sabrina menegaskan bahawa golongan OKU tidak wajar dilihat sebagai kumpulan yang memerlukan simpati, sebaliknya merupakan aset penting dalam bidang sosial, ekonomi dan kepimpinan negara. Beliau menyatakan bahawa potensi komuniti OKU lebih terserlah apabila diberi akses, kefahaman dan peluang yang adil.
Beliau turut berkongsi perjalanan peribadi sebagai seorang wanita dan pelajar berstatus OKU yang menjadikan cabaran sebagai kekuatan, serta menekankan bahawa inklusiviti adalah pengiktirafan, bukan belas kasihan, dan asasnya bermula apabila masyarakat melihat keupayaan, bukan kekurangan.
Dr. Sabrina menyeru agar usaha secara berterusan dilaksanakan dalam aspek dasar, pendidikan, peluang pekerjaan dan penerimaan sosial bagi memastikan pemberdayaan golongan OKU terus diperkukuhkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak universiti dan Pusat Perkhidmatan OKU (PPOKU) UMS atas komitmen serta sokongan berterusan dalam memperkasa mahasiswa OKU.
Majlis ini mencerminkan komitmen UMS dalam membentuk masyarakat kampus yang progresif, inklusif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi untuk menghargai setiap individu tanpa mengira latar belakang atau keupayaan. – pr/BNN





