KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menegaskan bahawa mana-mana ahli parti yang bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah 2025 akan dipecat serta-merta.
Menurut Setiausaha Agung PGRS, Datuk Mohammad Razali Razi, tindakan bertanding atas tiket bebas adalah bertentangan dengan pendirian parti yang merupakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, individu yang memilih untuk bertanding sebagai calon bebas tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan parti mahupun kepimpinan PGRS, walaupun mereka masih berstatus ahli sebelum ini.
Beliau berkata, keputusan pemecatan itu dibuat bagi memastikan disiplin parti kekal utuh menjelang pilihan raya, selain mengekalkan kesepaduan dalam mendukung calon-calon GRS.
PGRS turut menggesa semua penyokong dan jentera parti untuk terus memperkukuh solidariti serta memberi tumpuan penuh kepada usaha memastikan kemenangan calon GRS demi masa depan dan kepentingan rakyat Sabah.-BNN





