KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan Manifesto Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17 berteraskan gagasan “Rumah Kita, Kita Jaga” dengan tema “Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan”. Manifesto tersebut digerakkan melalui empat rukun utama — Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United — yang diterjemahkan kepada 16 strategi pembangunan merangkumi pelbagai bidang.
Manifesto GRS memberi tumpuan kepada dua matlamat utama: meningkatkan pendapatan negeri serta memperkukuh pendayaupayaan sosioekonomi rakyat.
Antara strategi yang digariskan termasuk memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah MA63, khususnya tuntutan 40 peratus pemberian khas, memperluas sumber ekonomi, meneroka sektor baharu serta melaksanakan reformasi undang-undang dan institusi bagi mewujudkan tadbir urus yang kondusif.
Manifesto itu turut menekankan aspek pembangunan masyarakat seperti pemerkasaan modal insan, penyelesaian infrastruktur asas, peluang pekerjaan berpendapatan bermaruah, penyediaan perumahan mampu milik, bantuan sosial serta usaha memperkukuh perpaduan rakyat.
GRS menegaskan pembangunan negeri perlu bersandarkan keupayaan fiskal yang realistik dan bukan sekadar retorik politik. Oleh itu, prestasi pentadbiran lalu menjadi asas manifesto, khususnya peningkatan hasil negeri sepanjang 2021–2025 di bawah GRS, yang menyaksikan pendapatan Sabah buat pertama kali melepasi RM5 bilion pada 2021 selepas lebih sedekad berada sekitar RM3–4 bilion. Hasil negeri mencapai RM6.97 bilion pada 2023 dan RM6.84 bilion pada 2024 — peningkatan 90.5 peratus berbanding 2020.
Berdasarkan momentum itu, GRS menyasarkan hasil negeri mencecah sekurang-kurangnya RM10 bilion menjelang 2030 melalui pengembangan ekonomi biru, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan perdagangan kredit karbon.
GRS turut merancang menubuhkan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah (Sabah Sovereign Wealth Fund) sebagai pelaburan jangka panjang bagi menjamin kemampanan ekonomi negeri untuk generasi akan datang. Dana tersebut dicadang dibiayai melalui sebahagian rizab negeri serta dana tambahan daripada hak 40 peratus pemberian khas.
GRS menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan pembangunan negeri secara realistik, pragmatik dan mampan. Dengan mandat rakyat pada PRU Sabah ke-17, gabungan itu berazam memacu Sabah ke arah negeri maju dengan rakyat yang berkemajuan.-pr/BNN





