KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menegaskan bahawa gabungan itu kekal utuh dan kuat meskipun terdapat segelintir pemimpin yang bertindak meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRUDU) Sabah ke-17.
Beliau berkata, tindakan beberapa individu yang memilih untuk berpindah parti atau bertanding sebagai calon Bebas adalah hak masing-masing, namun tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam menghadapi pilihan raya.
“GRS masih intact, masih kuat. Ada yang pindah parti, ada yang jadi calon Bebas, itu hak mereka. Tapi itu tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam pilihan raya kali ini. Kita juga ada strategi sendiri,” katanya kepada media selepas melancarkan Manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Isnin.
Hajiji berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu melibatkan beberapa pihak yang menarik diri daripada gabungan tertentu.
Mengenai calon Pakatan Harapan (PH) yang membuat keputusan menarik diri, Hajiji berkata, perkara berkenaan melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan beliau enggan mengulas panjang.
“Itu dia tarik diri, itu parti PH. Saya tidak mahu komen,” katanya. Walau bagaimana, Hajiji tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan tersebut memberi kelebihan kepada GRS di kerusi yang ditandingi.
Hajiji menegaskan bahawa fokus GRS kini adalah untuk memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan serta memastikan gabungan itu memperoleh mandat jelas daripada rakyat Sabah. – pr/BNN





