LAHAD DATU: Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Khamis ini, dengan fokus utama terhadap cadangan penubuhan tabung khas bagi rakyat Sabah.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata manifesto tersebut akan menekankan keperluan menyelesaikan isu-isu asas yang dihadapi negeri ini.

Katanya manifesto itu tidak mengandungi janji bulan dan bintang yang melampaui kemampuan, sebaliknya menekankan kesinambungan dalam menunaikan janji Kerajaan MADANI yang sebahagiannya telah ditunaikan.

“Kesinambungan ini bagi memastikan peruntukan kerajaan pusat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah asas di peringkat negeri”, katanya dalam sidang media bersama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama Romansa Lamin.

Mustapha berkata antara perkara yang ditekankan dalam manifesto PH adalah mewujudkan tabung khas bagi menyalurkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah. -pr/BNN