KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu telah menolak permohonan ex-parte yang difailkan oleh Albert Tei bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Ketua Menteri Sabah (Caretaker), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zaini Fishir @ Fisal, membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan daripada peguam Tei, Edward Paul, serta Peguam Besar Negeri Sabah (PBNS), Datuk Brenndon Keith Soh dan Roland Alik, yang mewakili Ketua Menteri (Caretaker).

Albert Tei memohon kebenaran di bawah Aturan 52 Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (A52 KKM 2012), dengan mendakwa berlaku penghinaan mahkamah.

Beliau mendakwa kuasa imigresen Sabah digunakan untuk menghalang kemasukannya ke negeri itu, sekali gus menghalangnya menghadiri perbicaraan kes rasuah yang sedang dihadapinya.

Pada 17 November 2025, Mahkamah Sesyen membenarkan PBNS hadir membantu mahkamah dalam menilai sama ada kebenaran wajar diberikan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rustam Sanip, turut dijemput untuk mengemukakan hujahan menyokong pendirian PBNS.

Dalam membantah permohonan itu, pejabat Peguam Besar Negeri berhujah bahawa Aturan 52 KKM 2012 hanya terpakai kepada prosiding sivil dan bukan prosiding jenayah, menjadikan permohonan Tei itu cacat dari segi undang-undang.

PBNS turut berhujah bahawa berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, hanya Peguam Negara Persekutuan — melalui TPR — mempunyai kuasa terhadap pendakwaan jenayah.

Oleh itu, seorang tertuduh dalam kes jenayah tidak boleh memulakan prosiding penghinaan mahkamah di mahkamah lain.

PBNS juga mengemukakan bahawa permohonan tersebut dibuat dengan niat jahat, merupakan penyalahgunaan proses mahkamah, serta tidak mempunyai asas fakta atau undang-undang.

Setelah meneliti semua hujahan, Mahkamah Sesyen menerima bantahan awal tersebut dan menolak permohonan Tei.

Keputusan itu menegaskan pendirian mahkamah bahawa prosiding penghinaan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya atau bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan pentadbiran keadilan yang sewajarnya. – BNN