KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan komitmen penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam kenyataan hari ini, Wanita Gagasan Rakyat menyifatkan kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri baru-baru ini sebagai manifestasi jelas kepercayaan rakyat terhadap keupayaan Hajiji memacu kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesinambungan pembangunan negeri.
Sehubungan itu, seluruh kepimpinan dan jentera Wanita Gagasan Rakyat di semua peringkat digesa memperteguhkan kesatuan serta memberikan sokongan padu kepada Ketua Menteri dalam menerajui pentadbiran negeri bagi penggal lima tahun seterusnya.
Menurut kenyataan itu, sokongan yang mantap amat penting bagi memastikan agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan.
Wanita Gagasan Rakyat juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang telah mengangkat sumpah baru-baru ini, sambil menyatakan keyakinan bahawa kabinet baharu itu mampu memberi tumpuan kepada penyelesaian isu legasi rakyat secara menyeluruh.
Antara keutamaan yang digariskan termasuk penambahbaikan dasar kebajikan, peluasan inisiatif kesejahteraan rakyat, pemerkasaan wanita dan pembangunan anak muda, peningkatan kecekapan tadbir urus serta penggunaan sumber negeri secara berhemah.
Kenyataan itu turut menegaskan harapan agar kerajaan terus mempertahankan hak-hak Sabah berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Wanita Gagasan Rakyat yakin tempoh pentadbiran lima tahun akan datang akan menjadi fasa penting yang menyaksikan kemampuan Kerajaan GRS Plus membawa Sabah ke arah negeri yang lebih stabil, makmur dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat serta masa depan generasi mendatang. – pr/BNN





