KOTA KINABALU: Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 bukan sekadar angka, tetapi merupakan detik bersejarah yang membuka ruang untuk semua parti tempatan bergabung demi masa depan negeri.

Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu jelas menunjukkan suara rakyat Sabah yang mahukan hala tuju politik baharu iaitu bebas daripada campur tangan luar.

“Cukup sudah campur tangan dari luar. Sabah adalah milik kita dan masa depan kita biar kita sendiri tentukan.

“Kita boleh berkawan dengan parti nasional, kita boleh berbincang, kita boleh bekerjasama tetapi kita tidak lagi mahu pengaruh yang tidak wajar terhadap masa depan Sabah”

Menurutnya, rakyat Sabah jelas menolak sebarang pengaruh tidak wajar yang boleh menentukan masa depan negeri.

“Merujuk kepada kenyataan Khairy Jamaluddin dalam program Keluar Sekejap, beliau menyifatkan keadaan ini sebagai “GPS moment” untuk Sabah.

“Inilah peluang keemasan untuk membina kekuatan politik tempatan seperti yang dilakukan Sarawak,” katanya.

Donald berkata, pemimpin Sabah perlu mengorbankan ego, pergeseran ataupun mungkin dendam lama untuk merealisasikan momentum berkenaan.

Katanya, pergeseran yang wujud selama ini memecah-belahkan landskap politik negeri dan jika ini dapat dilepaskan, Sabah juga boleh bangkit seperti Sarawak.

“UPKO menggesa agar semua pemimpin parti tempatan duduk bersama, mencari perdamaian dan memulakan perbincangan secara jujur demi membentuk sebuah kabinet negeri yang benar-benar bersatu serta mewakili seluruh rakyat Sabah.

“Pembentukan kerajaan yang stabil dan bersatu adalah langkah penting untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028.

“Sabah mesti tampil sebagai satu blok politik yang kukuh di peringkat persekutuan dengan menghantar 25 Ahli Parlimen yang bersatu dan berani memperjuangkan hak negeri.

“Hanya dengan itu kita mampu menuntut hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan menentukan masa depan negeri mengikut acuan kita sendiri,” tegasnya.

Sehubungan itu, UPKO menyeru seluruh rakyat dan pemimpin negeri untuk bangkit bersama demi masa depan generasi akan datang.

“Dengarlah suara rakyat, suara hati, suara nurani kita sebagai anak Sabah.

“Sabah United. Sabah First. Rumah kita, kita jaga. Selamatkan Sabah. Justice for Sabah. Sabah Strong,” katanya. – pr/BNN