KOTA KINABALU :  Music Rights Sabah Berhad (MRS) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor serta seluruh barisan kabinet yang baharu dilantik.

Sebagai sebuah Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) yang menguruskan hak cipta lagu etnik tempatan Sabah, MRS menyambut baik inisiatif kerajaan mewujudkan sebuah agensi khusus berkaitan ekonomi kreatif melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.

MRS menyatakan keyakinan bahawa langkah tersebut mampu memperkukuhkan ekosistem muzik etnik tempatan ke arah pengiktirafan sebagai sebuah industri yang lebih tersusun. Usaha itu juga dijangka memberi manfaat kepada pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dan syarikat penerbit tempatan.

MRS turut menegaskan komitmen untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan sektor ekonomi kreatif di Sabah, selain terus memainkan peranan sebagai CMO yang bertanggungjawab terhadap kutipan dan pengagihan royalti muzik etnik tempatan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri. – BNN