KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan mesti segera melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil cukai Sabah.

Naib Pengerusi Parti Bumi Kenyalang (PBK) Sabah, Datuk Ronnie Loh berkata, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, seramai 72 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersama 6 ADUN Dilantik dimohon agar bergabung untuk mengemukakan usul mendesak Perdana Menteri melaksanakan keputusan itu.

Menurutnya, sekiranya kerajaan gagal memenuhi arahan mahkamah dalam tempoh ditetapkan, kerajaan negeri perlu mengambil langkah lebih tegas termasuk meminta campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan kerana tidak mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau menekankan bahawa rakyat Sabah telah memberi mandat kepada wakil rakyat daripada pelbagai parti termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan (WARISAN), Barisan Nasional (BN), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Perikatan Nasional (PN), serta Bebas.

“Tidak kira dari parti mana anda berasal, kepentingan dan hak autonomi rakyat Sabah mesti dipertahankan.

“Inilah masanya untuk bertindak agar tidak mengecewakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan, semalam.-pr/BNN