KOTA KINABALU: Dr. Aslie Hj Sahat dipilih sebagai Presiden Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) bagi sesi 2025–2027 selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Dwitahunan persatuan itu yang berlangsung di Wisma Wanita, hari ini.

Proses pemilihan berjalan lancar dalam suasana mesra dan penuh ukhuwah, mencerminkan kesepakatan mantap dalam kalangan ahli untuk memperkukuh hala tuju persatuan demi kebajikan mantan pendidik serta pembangunan pendidikan di Sabah.

Beberapa jawatan utama turut diputuskan tanpa pertandingan, mengukuhkan lagi komitmen bersama ahli persatuan:

Timbalan Presiden: Hussin Basir

Naib Presiden: Datuk Dr. Zulkifli Syukur

Setiausaha Agung: Alli Majittaba

Penolong Setiausaha Agung: Dr Kassim Haji Buntak

Bendahari Agung: Haji Shahrizan Abdullah
Tiga Ahli Jawatankuasa yang terpilih ialah
Tuan Haji Abu Kassim Hj Binsin, Hajah Maznah Abdul Ghani, dan Haji Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles. Jawatan Juruodit pula disandang oleh Johan Awi dan Hajah Siti Aisah Hj Maidin.

Dalam ucapan sulungnya, Dr Aslie menzahirkan penghargaan kepada semua perwakilan dari seluruh Sabah atas kepercayaan yang diberikan kepada barisan kepimpinan baharu.

“Persatuan ini bukan sekadar tempat berhimpun mantan pendidik, tetapi wadah untuk menyumbang idea, pengalaman dan kepakaran dalam memajukan pendidikan negeri Sabah. Walaupun kita sudah tidak lagi berada di bilik darjah, tanggungjawab moral kita terhadap generasi pewaris ilmu tidak pernah berakhir,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa PMPS akan memperkukuh jaringan kebajikan ahli, memperbanyak program pembangunan minda, serta memperluas kerjasama strategik dengan agensi pendidikan dan kerajaan.

Barisan kepimpinan PMPS bagi sesi baharu menetapkan empat fokus utama sebagai panduan hala tuju organisasi.

Pertama, memperkasa kebajikan ahli melalui pelbagai inisiatif sokongan sosial dan kesihatan.

Kedua, menggerakkan program pendidikan dan kemasyarakatan bagi memastikan penyampaian ilmu dapat diteruskan secara berkesan.

Ketiga, berperanan sebagai rakan strategik kerajaan serta agensi pendidikan dalam usaha memperkukuh dasar pendidikan negeri.

Keempat, menyatukan mantan pendidik seluruh Sabah di bawah satu jaringan profesional yang berpengaruh dan dihormati. – pr/BNN