KENINGAU: Susulan pengumuman Presiden Parti STAR, Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey Kitingan bahawa parti itu secara rasmi berada di blok pembangkang, kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor yang dimenangi calon STAR turut berubah mengikut garis pentadbiran yang sama.
Perubahan ini berlaku meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Ishak Datuk Ayub dilantik sebagai Pembantu Menteri dalam Kabinet Negeri pada masa ini.
Menurut amalan pentadbiran kerajaan negeri, kedudukan sebuah parti dalam blok pembangkang atau kerajaan menentukan saluran dan penyelarasan urusan pembangunan di kawasan masing-masing.
Justeru, dengan STAR berada dalam blok pembangkang, segala urusan pembangunan, kebajikan dan perkhidmatan kepada rakyat di DUN Bingkor kini diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri yang memerintah, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) GRS Liau, Harry Gitik, berkata tanggungjawab itu penting demi menjamin kesinambungan pentadbiran serta memastikan tiada gangguan terhadap pelaksanaan projek dan perkhidmatan rakyat.
“Rakyat Bingkor memerlukan kesinambungan pembangunan tanpa kekeliruan politik. Oleh kerana kerajaan negeri kini diterajui GRS, maka segala urusan pembangunan dan kebajikan rakyat Bingkor adalah di bawah kelolaan GRS bagi memastikan perancangan tidak terganggu dan manfaat terus sampai kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata, adalah menjadi keutamaan GRS untuk memastikan semua perancangan yang telah digariskan kerajaan negeri—termasuk infrastruktur asas, program kesejahteraan masyarakat, pembangunan ekonomi setempat dan penyelarasan bantuan—dapat diteruskan dengan teratur tanpa mengira dinamika politik di peringkat parti.
Harry turut menekankan bahawa langkah tersebut bukan bermotifkan politik kepartian, sebaliknya merupakan keperluan pentadbiran demi memastikan sistem tadbir urus kerajaan berjalan lancar dan rakyat tidak menjadi mangsa kepada ketidaktentuan politik.
“Ini bukan soal parti mana berada di mana. Ini soal memastikan setiap ringgit peruntukan kerajaan negeri sampai ke sasaran, setiap projek dilaksana mengikut jadual, dan setiap program masyarakat dapat diteruskan tanpa halangan. Pentadbiran mesti jelas, teratur dan tidak keliru,” tegasnya.
Katanya, komitmen GRS adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menekankan pembangunan seimbang, kebajikan rakyat serta stabiliti pentadbiran sebagai asas pembangunan Sabah.
“GRS di peringkat kawasan akan memastikan rakyat Bingkor terus menerima perkhidmatan kerajaan secara saksama, selari dengan hasrat Ketua Menteri untuk melihat pembangunan negeri sampai ke semua daerah, tanpa mengira latar politik.
“Dengan penjelasan itu, GRS Bingkos berharap rakyat Bingkor akan terus yakin bahawa proses pembangunan kawasan mereka tetap terjamin, stabil dan berada di bawah penyelarasan pentadbiran yang jelas demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh masyarakat setempat”, tegasnya. – pr/BNN





