PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pemakluman rasmi mengenai kekosongan itu diterima daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 8 Disember, dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim Yahya pada 9 Disember 2025.

Menurut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sabah, kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi tersebut perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia disahkan SPR.

Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Disember 2025 untuk menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag. Mesyuarat akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Harun.

Antara perkara yang bakal diputuskan termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, daftar pemilih yang digunakan serta persiapan keseluruhan bagi melaksanakan PRK berkenaan.

SPR memaklumkan satu sidang media akan diadakan sejurus Mesyuarat Khas itu berakhir.-BNN