KOTA KINABALU: Tourism Malaysia Sabah dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Durian dan Buah-buahan Tropika Sabah (MaSDa) melancarkan Risalah Sabah Agro Tourism – A Unique Sabah’s Farmland Experience (Edisi Ke-2) bagi mempromosikan musim durian serta memperkasa agropelancongan negeri ini.

Pelancaran yang berlangsung di D’King, Segama, disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.

Edisi terbaharu ini meneruskan kejayaan edisi pertama yang dilancarkan pada Ogos 2024 dengan menampilkan 24 pengusaha ladang buah-buahan tempatan serta pelbagai pakej agropelancongan di lokasi seperti Tamparuli, Menggatal, Papar, Tenom, Tawau dan beberapa kawasan luar bandar lain yang terkenal dengan kepelbagaian durian serta buah-buahan tropika.

Antara pakej yang ditawarkan termasuk lawatan setengah hari ke kebun durian, pengalaman inap desa berasaskan ladang, serta lawatan lengkap untuk menikmati durian unik Sabah seperti durian pulu, dalit dan sukang.

Pakej-pakej ini dibangunkan melalui kerjasama pengusaha ladang, komuniti setempat dan penggiat industri pelancongan bagi menyokong pembangunan agropelancongan serta meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Puan Zuraini Abd Ghani, berkata pembangunan risalah edisi kedua ini mencerminkan komitmen Sabah dalam menawarkan pengalaman pelancongan berteraskan komuniti.

“Edisi ini memberi peluang kepada pelawat untuk merasai kekayaan warisan agro Sabah, di samping menyokong pembangunan pelancongan luar bandar dan penjanaan ekonomi setempat. Ia juga sebahagian daripada persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026),” katanya.

Sementara itu, Durian Tourism Buz 2025 turut berlangsung di Segama Waterfront, Kota Kinabalu bermula 12 hingga 14 Disember 2025. Karnival selama tiga hari anjuran MaSDa itu menghimpunkan lebih 20 pengusaha durian dan buah-buahan tempatan dari seluruh Sabah, menawarkan pelbagai hasil segar dan produk berasaskan buah-buahan pada harga menarik.

Penganjuran sulung di Kota Kinabalu dengan kerjasama Tourism Malaysia Sabah, Sabah Tourism Board, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan FAMA itu diharap dapat mengukuhkan Sabah sebagai antara destinasi agropelancongan unggul di Malaysia, selain membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.-pr/BNN