KOTA KINABALU: Dua beradik, Shelby Harry Aliu dan Daxton Harry Aliu, mencuri tumpuan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah dan Penyampaian Sijil SJK (C) St James, Kota Kinabalu 2025 apabila masing-masing mengharumkan nama sekolah melalui pencapaian cemerlang dalam bidang seni dan sukan.

Shelby membuktikan bakat luar biasa di peringkat antarabangsa apabila meraih First Prize International Festival Online Competition (Art Marathon in France), sekali gus mengangkat nama sekolah dan negara di persada seni global.

Sementara itu, adiknya, Daxton, turut mencatat kejayaan membanggakan apabila muncul pemenang pingat emas Kejohanan Wushu Negeri Sabah 2025, sekali gus menampilkan keunggulan disiplin, ketahanan fizikal dan semangat juang tinggi dalam arena sukan negeri.

Kejayaan dua beradik ini membuktikan kecemerlangan boleh diraih dalam pelbagai bidang, sekali gus menjadi inspirasi kepada rakan pelajar untuk terus mengembangkan potensi diri secara seimbang, sama ada dalam akademik, seni mahupun sukan.

Pencapaian Shelby dan Daxton turut menjadi kebanggaan kepada keluarga mereka, khususnya bapa, Harry Aliu, dan ibu, Christina Tay Mei Yun, yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap perkembangan dan pencapaian anak-anak.

Diharapkan kejayaan ini menjadi pemangkin kepada Shelby dan Daxton untuk terus melakar lebih banyak pencapaian pada masa hadapan, di samping menyumbang kepada kecemerlangan sekolah serta mengharumkan nama Sabah di peringkat lebih tinggi.-pr/BNN