KENINGAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN N.40 Bingkor, Rafie Robert, menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat setempat meskipun keputusan Pilihan Raya lalu tidak memihak kepadanya.
Menurutnya, keputusan yang diterima tidak akan mengubah prinsip dan pendiriannya untuk terus berkhidmat kepada rakyat Bingkor, selain mengekalkan hubungan silaturahim yang telah terjalin.
“Apa pun yang berlaku, saya tetap dengan pendirian ini. Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat di kawasan DUN Bingkor dan hubungan silaturahim yang kita bina akan terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santai bersama petugas, penyokong dan masyarakat setempat yang berlangsung di Taman Bandukan Riverside Resort, Bingkor, di sin
Rafie merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas serta jentera pilihan raya yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dan jentera yang telah bekerja keras tanpa mengira penat lelah. Namun, kita menerima hakikat bahawa rezeki belum menyebelahi kita,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan sama ada secara langsung atau tidak langsung, sambil menegaskan komitmen meneruskan usaha pembangunan di kawasan berkenaan.
“Sebelum ini saya telah melaksanakan pelbagai program melibatkan belia, wanita dan sukan. Usaha ini akan diteruskan tanpa ragu. Saya akan terus memperjuangkan pembangunan sukan, eko-pelancongan serta ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman melalui proses pilihan raya memberikan pengajaran dan hikmah yang besar, selain menyuntik semangat baharu untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
“Walaupun perjalanan ini tidak semuanya manis, ia memberi pengalaman yang amat bermakna. Saya akan terus membantu keluarga serta rakyat di DUN Bingkor sedaya upaya saya,” katanya.
Dalam pada itu, Rafie turut memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau kekhilafan sepanjang tempoh perjuangan bersama pasukannya.
“Sekiranya saya atau pasukan saya ada melakukan kesilapan, saya dengan rendah hati memohon maaf,” katanya.
Rafie turut menyeru agar semangat kebersamaan terus diperkukuh demi masa depan Bingkor.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong saya. Hubungan baik ini kita kekalkan dan kita terus bekerja bersama. Lima tahun bukanlah tempoh yang lama,” katanya.-pr/BNN





