KOTA KINABALU: Sebanyak lima cadangan penambahbaikan tatakelola telah dibentangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) berhubung isu Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (RMSMJ) yang tidak diduduki setelah siap dibina.
Cadangan pertama ialah menambahbaik butiran kriteria penerima seperti menetapkan pemohon mestilah Ketua Isi Rumah (KIR); pemilik rumah daif yang telah diluluskan permohonan perlu merobohkan rumah usang setelah rumah baru siap dibina; permohonan tidak akan diluluskan sekiranya pemohon mempunyai sumber pendapatan dan tidak dibenarkan menukar hak milik RMSMJ kepada orang lain kecuali KIR telah meninggal dunia serta hak milik dipindah kepada pewaris.
Cadangan kedua adalah mewujudkan satu mekanisme pemantauan sebelum, semasa dan selepas pembinaan RMSMJ serta mewujudkan borang permohonan RMSMJ; memasukkan klausa Peringatan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 di dalam borang permohonan RMSMJ manakala cadangan kelima memberi taklimat/ kefahaman berkaitan garis panduan RMSMJ kepada pihak yang terlibat di dalam program ini.
Cadangan penambahbaikan itu adalah berdasarkan hasil siasatan awal oleh SPRM Sabah yang diterima menyatakan terdapat penerima-penerima bantuan rumah dalam program RMSMJ tidak tinggal di rumah tersebut dan disewakan kepada orang lain.
Kesemua syor ini telah disampaikan oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah kepada KPLB dan disambut baik oleh Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Datuk Myrna Jimenez dalam sesi pembentangan yang diadakan di pejabat KPLB di sini, semalam.
Sementara itu, Myrna yang menyambut baik cadangan itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan bagi menambahbaik kelemahan yang dicadangkan oleh SPRM Sabah.
Turut hadir Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham serta wakil Bahagian Integriti Dan Governans Negeri Sabah, Mohd Jamri Ag Damit.-pr/BNN





